300 Artis Terpaksa Pinjam Ah Long Akibat Tiada Kerja

PADAH…. Lebih kurang 300 orang seniman di negara ini dilaporkan terjebak dengan pinjaman secara haram atau juga disebut Ah Long akibat kekurangan tawaran kerja sepanjang tahun lalu.

Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mendedahkan hanya 20 peratus daripada golongan seniman tempatan yang berjaya mendapat tawaran pekerjaan tetap ketika ini.

Bagaimanapun selebihnya berada dalam keadaan kerja yang tidak menentu termasuk kontrak jangka pendek atau separuh masa mengakibatkan mereka terpaksa meminjam duit tunai dengan pihak peminjam wang tanpa permit.

“Apa yang membimbangkan adalah Ah Long tersebut akan menyimpan kad mesin tunai automatik (ATM) mereka. Terdapat satu kes di mana maklumat peribadi seniman terbabit kemudian disalahgunakan oleh Ah Long.”

Tambah Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, Seniman gusar kemungkinan data peribadi dan akaun bank tersebut akan digunakan pula untuk menjalankan aktiviti haram seperti perjudian atas talian.

“Kami bimbang satu hari nanti, akan ada seniman yang dituduh terlibat dengan pengubahan wang haram. Justeru, Seniman berusaha menawarkan kepada seniman terbabit untuk mencari peluang kerja tertentu,” katanya.

Berdasarkan laporan yang diterima ujar Zed, ada kalangan mereka terpaksa meminjam antara RM5,000 sehingga RM10,000 daripada Ah Long bagi menyara keluarga dan meneruskan hidup selepas tiada sebarang pekerjaan tetap.

Seniman ditubuhkan sejak 1974 sebagai sebuah badan bukan kerajaan tertua tempatan yang memperjuangkan nasib penggiat seni tanah air, ketika ini hanya mempunyai keahlian kira-kira 5,000 orang.

Reply